Monday 20 November 2017

SEJARAH PENGUMPULAN AYAT AL-QURAN

Semasa Rasulullah masih hidup, ramai sahabat menghafal al-Quran. Jadi masa itu tidak timbul masalah kemungkinan ayat-ayat al-Quran akan ‘hilang’. Bahkan, jika timbul perkara meragukan, boleh terus dirujuk kepada Rasulullah.

Apabila Rasulullah SAW wafat dan begitu juga dengan sahabat meninggal dunia, bilangan penghafal ayat-ayat al-Quran menjadi semakin berkurangan. Ramai sahabat meninggal dunia ketika menyertai peperangan dan faktor usia. Perkara ini disedari oleh sahabat, terutama Syaidina Umar.

Keadaan tersebut lebih dirasakan setelah Peperangan Yamamah, di mana ramai penghafal al-Quran telah mati syahid. Setelah perang tamat, Syaidina Umar berjumpa dengan Syaidina Abu Bakar, khalifah ketika itu, untuk menyatakan rasa bimbingnya kemungkinan lebih ramai sahabat akan meninggal pada peperangan akan datang.

Memandangkan kepada keadaan demikian, Syaidina Umar telah menyuarakan pendapatnya agar ayat-ayat al-Quran dikumpulkan daripada hafalan sahabat dan yang sudah ditulis tetapi disimpan oleh sahabat, dan kemudiannya hendaklah dibukukan.

Pada mulanya Syaidina Abu Bakar agak keberatan untuk melakukan seperti yang dicadangkan oleh Syidina Umar tersebut, kerana Rasulullah semasa hayat baginda tidak pernah melakukan perkara tersebut dan juga tidak pernah menyuruh sahabat melakukan sedemikian.

Bagaimanapun, setelah diyakinkan berkali-kali oleh Syidina Umar dalam pertemuan-pertemuan lain bahawa perkara itu baik dilakukan, Syidina Abu Bakar yang telah diberikan petunjuk oleh Allah dalam perkara itu, bersetuju untuk melakukannya.

Tugas mengetuai gerakan mengumpul ayat-ayat al-Quran dilakukan oleh Zaid bin Thabit. Beliau merupakan bekas jurutulis bagi Rasulullah. Beliau merupakan penulis tetap wahyu, selain beberapa lagi sahabat. Selain itu Zaid bin Thabit juga merupakan seorang ahli khat yang terbaik ketika itu.

Zaid bin Thabit sedar tanggungjawab diserahkan kepadanya amat berat dan dirasakan tugas tersebut lebih berat daripada memindahkan sebuah bukit. Namun, demi melaksanakan satu tanggunjawab untuk kebaikan seluruh umat manusia, Zaid bin Thabit menerima dengan hati terbuka. 

Setelah kesemua ayat al-Quran berjaya dikumpul dan dibukukan, dan disahkan betul oleh sahabat yang hafal, ia disimpan di rumah Syidina Abu Bakar. Ayat al-Quran yang lengkap satu buku itu dinamakan Mashaf Imam. 

Selepas kewafatan Syidina Abu Bakar, ia disimpan pula di rumah Syidina Umar sebagai khalifah dan selepas kewafatannya beralih pula kepada Hafsah binti Umar, isteri Rasulullah.

Pada masa pemerintahan Syidina Usman bin Affan, bilangan Mashaf Imam diperbanyakkan dan diedarkan keseluruh kawasan pemerintahan Islam. Penyebaran itu bagi mengelak daripada berlakunya kekeliruan di kalangan penganut Islam di kawasan jauh dari pusat pemerintahan di Madinah, di mana sukar untuk membuat rujukan.

Selain dikirimkan senaskah al-Quran lengkap, turut dikirimkan seorang pembaca al-Quran yang mahir bagi membacakannya kepada penduduk di kawasan berkenaan agar dapat ditentukan keseragaman bacaannya. 

Selepas beberapa salinan Mashaf baru dibuat, Syidina Usman bin Affan mengarah agar Mashaf asal dan catatan-catatan ayat al-Quran yang masih disimpan sahabat dibakar. Mashaf baru kemudiannya dikenali Mashaf Usmani, yang kekal sekarang.

Pada mulanya penulisan huruf-huruf al-Quran tidak diberi tanda titik dan baris. Pembacaannya dapat dilakukan dengan baik oleh umat Islam pada ketika itu. Bagaimanapun, setelah Islam berkembang ke merata tempat, maka ia sukar untuk dibaca oleh orang bukan berbangsa Arab.

Untuk mengelak kekeliruan, ia diberikan titik dan baris. Pada peringkat awal hanya baris ditambah. Orang yang bertanggungjawab melakukan tugas tersebut ialah Abu Aswad Dauli semasa pemerintahan Muawiyah.

Seterusnya, pada zaman Abdul Malik bin Marwan, ia mula diberikan titik untuk membezakan huruf-huruf yang sama bentuknya. Tugas tersebut disempurnakan oleh Nashar bin Ashim.

No comments:

Post a Comment