Monday 27 November 2017

BATAS HUBUNGAN LELAKI WANITA


Syariat Islam tidak melarang secara total pergaulan antara lelaki dan wanita asalkan mengikut lunas yang ditetapkan. Antara perkara yang ditekankan ialah pergaulan tidak melibatkan bersentuhan lelaki perempuan, bertemu di tempat terbuka, menjaga adab berpakaian agar tidak terdedah sana sini yang membangkitkan nafsu dan mengelak aksi atau reaksi berbentuk menggoda.

Lelaki dan perempaun ditegah bertemu melainkan jika ditemani oleh mahram kepada perempuan itu yang bertindak sebagai penjaga. Pasangan bertunang juga tidak boleh bebas berhubung kerana pada hakikatnya hubungan pertunangan itu tidak menghalalkan apa yang diharamkan kepada pasangan belum bertunang. 

Pasangan bertunang tidak mempunyai apa-apa pengecualian atau hak, melainkan sekadar satu perjanjian untuk melangsungkan perkahwinan pada masa depan. Batasan hubungan pasangan bertunang sama seperti mereka tidak bertunang. 

Justeru, satu tanggapan atau amalan salah apabila pasangan bertunang bebas berhubung dengan alasan mereka akan berkahwin nanti.      

Satu lagi ancaman menyerang golongan muda yang membawa kepada seks bebas ialah pengaruh lucah. Lucah selalunya dikaitkan dengan perangai tidak senonoh, kotor dan keji yang menjejaskan pembangunan minda dan sahsiah masyarakat, terutama remaja yang mudah terpengaruh dengan sesuatu yang baru dan menyeronokkan.

Gambar pornografi mudah diperoleh melalui maya. Ini bermakna ia dapat dicapai di mana-mana saja asalkan ada kemudahan internet dan gejet bersesuaian seperti komputer, telefon dan sebagainya. 

Hal berkaitan internet sukar dikawal kerana melibatkan ruang maya yang tidak bersifat fizikal. Ini jauh berbeza ancaman pronografi pada dua atau tiga dekad lalu yang disebarkan melalui pita video, majalah dan buku. Penyebarannya mudah dikawal biarpun tidak sepenuhnya. 

Apa yang berlaku menepati kebimbangan yang pernah disuarakan oleh Prof Dr Hamka yang menyebut: “Segala sesuatu yang akan mendekatkan dengan zina terbuka di mana-mana.”

Oleh yang demikian, usaha bersungguh-sungguh ke arah membina generasi muslim yang mempunyai ketrampilan dan berakhlak mulia perlu membabitkan semua pihak. Ia bagi memastikan masalah sosial yang kian parah dalam masyarakat dapat dikurangkan secara perlahan-lahan sehingga kadar paling minimum.

Allah berfirman bermaksud: “Dan hendaklah ada antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada perkara mungkar; merekalah orang yang beruntung.” (Surah Ali Imran, ayat 104)

AKIBAT BURUK PERGAULAN BEBAS


Hubungan bebas lelaki dan perempuan membawa padah mencemarkan maruah diri, keluarga dan agama. Segelintir muda-mudi Islam kini tidak lagi segan silu berpelukan dan bercium di tempat awam. Mereka menganggap itu hak asasi yang tidak boleh dihalang oleh sesiapa, termasuk ibu bapa mereka sendiri.

Keadaan ini berlaku akibat kurang didikan agama dan pengaruh budaya Barat yang semakin parah mengancam kemurnian dan kesucian Islam. Apa yang dilakukan tidak langsung menggambarkan diri mereka penganut Islam. Mereka tidak mengikut apa yang ditetapkan oleh Islam. 

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Janganlah seorang lelaki dan wanita berdua-duaan bersama melainkan jika ditemani oleh mahramnya.”  (Hadis riwayat Bukhari)

Pergaulan bebas membenihkan gelora nafsu tidak terkawal. Sekarang banyak tempat boleh dijadikan lokasi melepaskan tuntutan nafsu. Kewujudan hotel murah dan sikap pengurusan hotel menawarkan sewaan mengikut jam memudahkan golongan muda menggunakan untuk tujuan tidak baik. 

Malah cara hidup keluarga yang tidak mengambil berat soal halal haram apa dilakukan anak-anak mereka turut mendorong sesetengah anak menjadikan rumah sendiri sebagai tempat melakukan maksiat ketika ibu bapa tiada di rumah. 

Peluang berdua-duaan mendekatkan diri kepada perlakuan sumbang kerana perbuatan itu terdedah kepada hasutan syaitan. Hadis diriwayatkan Ahmad bermaksud: “Janganlah seorang lelaki dan wanita berdua-duaan bersama kerana syaitan akan hadir sebagai orang ketiga.”

Maka, tidak hairanlah statistik kelahiran anak tidak sah atau anak zina bertambah dari tahun ke tahun kesan daripada persetubuhan haram yang dilakukan. Fenomina itu turut menyumbang kepada peningkatan kes buang bayi.    

Tentunya satu amat memalukan apabila kebanyakan kes buang bayi yang dilaporkan melibatkan golongan muda beragama Islam. Ini amat bertentangan dengan ajaran Islam yang mengharamkan perbuatan zina dan lebih-lebih lagi membuang bayi yang kebanyakannya menyebabkan bayi dibuang itu meninggal dunia. Malah lebih teruk apabila bayi yang baru dilahirkan dibunuh demi untuk menutup aib.

Mendepani masalah ini, banyak pihak saling menuding jari menyalahkan itu dan ini. Sikap itu tidak menyelesaikan masalah. Apa yang buruk terus berulang tanpa bertemu titik penyelesaian. 

Hakikatnya, apa yang berlaku dapat diatasi sekiranya kita kembali menghayati ajaran Islam. Islam mengajar agar saling menasihati dan mencegah perkara buruk. Apa yang dilakukan tidak terhad kepada usaha mencegah secara fizikal, tetapi juga sikap apabila berdepan dengan perkara buruk.    

Perkara ini ditegaskan Rasulullah SAW melalui sabda bermaksud: “Sesiapa antara kamu yang melihat sesuatu kemungkaran, maka hendaklah ia mengubah dengan tangannya, jika ia tidak berdaya maka ubahlah dengan lisannya dan jika tidak mampu (ubahlah), dengan hatinya. Dan itulah selemah-lemah iman.” (Hadis riwayat Muslim)

Maka itu, dalam Islam tidak wujud istilah jaga tepi kain orang. Setiap orang bertanggungjawab menyeru kepada kebaikan dan mencegah berlaku keburukan. 

Allah berfirman bermaksud: “Dan hendaklah ada antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada perkara mungkar; merekalah orang yang beruntung.” - (Surah Ali Imran, ayat 104)

Sunday 26 November 2017

KIBAR JALUR GEMILANG


Setiap negara merdeka dan berdaulat mempunyai bendera. Bendera menjadi lambang kemegahan setiap rakyat yang cintakan negara. Kita dapat mengenali sesebuah negara berdasarkan benderanya.

Bendera Malaysia dikenali dengan nama Jalur Gemilang dalam satu majlis pengiystiharan pada 30 Ogos 1997, pukul 11.58 malam di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Sejarah Jalur Gemilang bermula apabila akhbar The Malay Mail menjalankan pendapat umum terhadap tiga reka bentuk yang terpilih di peringkat akhir pertandingan mereka bentuk bendera Persekutuan Tanah Melayu yang dianjurkan oleh Majlis Perundangan Persekutuan pada tahun 1949.

Persekutuan Tanah Melayu perlu memiliki bendera sendiri kerana negara dalam proses mencapai kemerdekaan. Ketika itu bendera rasmi di negara kita adalah Union Jack iaitu bendera negara British yang menjajah negara kita.

Pada 28 November 1949, majoriti rakyat memilih reka bentuk ketiga ciptaan seorang pekerja Jabatan Kerja Raya, Johor bernama Mohamad Hamzah. Reka bentuk itu telah dibuat beberapa pindaan dan telah mendapat pekenan Mesyuarat Majlis Raja-rajya pada 23 Febuari 1950.

Selanjutnya, pada 19 Mei 1950, kerajaan British telah meluluskan reka bentuk berdera itu, sama seperti Jalur Gemilang sekarang. Cuma bezanya pada masa itu hanya terdapat 11 jalur merah putih.  

Bendera Persekutuan Tanah Melayu dikibarkan secara rasminya pada 26 Mei 1950 di pekarangan Istana Sultan Selangor yang dihadiri oleh semua raja-raja Melayu, pembesar Melayu dan wakil kerajaan British. 

Namun, Jalur Gemilang belum lagi dianggap bendera kepada sebuah negara berdaulat pada ketika itu kerana Persekutuan Tanah Melayu masih dijajah oleh Brisith. Jalur Gemilang menjadi saksi kedaulatan negara apabila kali pertama dikibarkan di Dataran Merdeka pada jam 12.00 malam 31 Ogos 1957 dan serentak dengan itu bendera Union Jack diturunkan sebagai tanda tamatnya pemerintahan British di negara kita.

Itulah sejarah bermulanya Jalur Gemilang yang menjadi lambang kemegahan negara.

Bendera tidak sekadar sehelai kain yang diwarnakan, tetapi menjadi lambang yang menunjukkan kedaulatana sesebuah negeri atau negara. 

Pujangga berkata: "bendera adalah suatu perkara mudah iaitu tidak lebih daripada secebis kain berwarna. Namun, kerananya manusia sanggup bermati-matian."

Bendera dikaitkan dengan semangat dan kecintaan terhadap negara. Sebab itu, bendera atau panji-panji dibawa dalam peperangan pada zaman dahulu. Bendera dibawa oleh tentera paling gagah dan berada di bahagian depan pertempuran. 

Jika sekiranya pembawa bendera maut atau tidak lagi mampu menjalankan tanggungjawab itu, maka cepat-cepat akan diambil oleh tentera lain. Ketiadaan bendera boleh dianggap bahawa pasukan itu telah kalah. 

Tentulah sedih jika melihat Jalur Gemilang tidak dihormati. Contohnya apabila bendera dikibarkan dalam keadaan lusuh warnanya, malah ada yang telah koyak dan sukar dipanggil bendera.

Jalur Gemilang dibiarkan di kedudukannya sepanjang 
masa tanpa diturunkan, termasuk waktu malam, hujan dan panas. Sebab itu keadaan menjadi lusuh dan koyak. 

Sepatutnya, bendera dinaikkan pada waktu pagi dan diturunkan pada waktu malam. 

Surat Pekeliling Am Bil. 3 Tahun 1994 yang dikeluarkan oleh Kerajaan Persekutuan menetapkan supaya bendera dikibarkan dan diturunkan di bangunan-bangunan kerajaan mengikut waktu pejabat biasa dan di sekolah-sekolah mengikut waktu kelas pertama dan menurunkan selepas kelas terakhir tamat. 

Manakala dalam tradisi tentera di negara kita, Jalur Gemilang dikibarkan mulai pukul 7.00 pagi dan diturunkan pada pukul 7.00 malam.

Bendera merupakan lambang kepimpinan, simbol penghormatan dan maruah bagi sesebuah negara. Setiap negara mempunyai bendera yang tersendiri untuk mewujudkan perasaan bangga, hormat dan rasa kecintaan terhadap tanah air.

MATLAMAT CAPAI NEGARA MAJU 2020


Malaysia secara konsistent dan terancang meletakkan matlamat mencapai status negara maju menjelang tahun 2020 nanti.  Usaha ini semakin menampak kejayaan apabila banyak pencapaian memberangsangkan dicapai dalam pendidikan, ekonomi, sains dan teknologi, perindustrian, sosial dan teknologi maklumat.

Malaysia kini memiliki pasarana kelas pertama dengan sistem pengakutan moden, lapangan terbang besar, pelabuhan yang mampu mengendalikan kapal terbesar, perkhidmatan perbankan, takaful, penghasilan peralatan teknologi moden dan meneroka bidang angkasa lepas.

Sesuatu dasar atau konsep yang diperkenalkan kerajaan memerlukan sokongan padu daripada rakyat.  Inilah resipi kejayaan yang dicapai negara selama ini.  Semua pihak perlu berganding bahu membangunkan negara, biarpun berlainan ideologi politik.

Mentaati pemerintah adalah sebahagian tuntutan Islam.  Kerajaan tidak dapat menjalan tanggungjawab dengan baik jika rakyat tidak memberi sokongan terhadap rancangan dan dasar yang diatur untuk kepentingan semua pihak. 

Firman Allah bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kepada Rasulullah dan kepada ‘ulil-amri’ (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.” (Surah an-Nisa, ayat 59).

Justeru, Islam melarang sebarang tindakan menyalahi peraturan atau undang-undang ditetapkan pemerintah. Sesiapa menentang pemerintah samalah ingkar kepada Allah dan Rasulullah.  Tindakan sesetengah individu yang tidak menyokong kerajaan yang adil dan menjalankan tanggungjawab dengan baik samalah dengan tindakan meruntuhkan kekuatan Islam.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Sesiapa yang taat kepadaku, bererti dia taat kepada Allah, sesiapa yang derhaka kepadaku bermakna dia derhaka kepada Allah, sesiapa yang taat kepada pemerintah bermakna dia taat kepadaku, dan sesiapa yang derhaka kepada pemerintah bermakna dia derhaka kepadaku.” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud, Nasai dan Ibnu Majah).

Sokongan rakyat adalah aset paling penting bagi menjamin keselamatan negara.  Sesiapa melakukan khianat terhadap negara bukanlah dari kalangan orang beriman, kerana mencintai negara adalah sebahgian daripada cabang iman.    

Setiap rakyat wajib mempertahankan negara mengikut kemampuan masing-masing.  Mempertahankan negara bukan hanya apabila menjadi tentera dan bertempur di medan perang.  Sebaliknya, mempertahankan negara meliputi segala usaha secara langsung dan tidak langsung bagi menjamin keselamatan, kesejahteraan dan keamanan negara.

Setiap rakyat wajib mentaati pemerintah selagi tidak diperintahkan melakukan perkara buruk.  Sabda Rasulullah bermaksud: “Wajib ke atas setiap Muslim patuh dan taat kepada pemerintah sama ada dia suka atau tidak, selama mana dia tidak diperintahkan melakukan maksiat, sekiranya dia diperintah melakukan maksiat, maka janganlah patuh dan taat.” (Hadis riwayat Bukhari).

Negara amat memerlukan sokongan dan kesetiaan setiap rakyat, terutama ketika di seluruh dunia sekarang ini menghadapi segala kemungkinan akibat tindakan pihak memusuhi Islam.  Sikap setia dan menyokong kerajaan adalah sebahagian jihad untuk mempertahankan negara. 

Sabda Rasulullah bermaksud: “Sesiapa yang menarik kesetiaannya kepada pemerintah, dia menemui Allah tanpa sebarang hujah, sesiapa yang mati tanpa kesetiaan kepada pemerintah, mati dia seperti dalam jahiliah (maksiat).” (Hadis riwayat Muslim).

Monday 20 November 2017

SEJARAH PENGUMPULAN AYAT AL-QURAN

Semasa Rasulullah masih hidup, ramai sahabat menghafal al-Quran. Jadi masa itu tidak timbul masalah kemungkinan ayat-ayat al-Quran akan ‘hilang’. Bahkan, jika timbul perkara meragukan, boleh terus dirujuk kepada Rasulullah.

Apabila Rasulullah SAW wafat dan begitu juga dengan sahabat meninggal dunia, bilangan penghafal ayat-ayat al-Quran menjadi semakin berkurangan. Ramai sahabat meninggal dunia ketika menyertai peperangan dan faktor usia. Perkara ini disedari oleh sahabat, terutama Syaidina Umar.

Keadaan tersebut lebih dirasakan setelah Peperangan Yamamah, di mana ramai penghafal al-Quran telah mati syahid. Setelah perang tamat, Syaidina Umar berjumpa dengan Syaidina Abu Bakar, khalifah ketika itu, untuk menyatakan rasa bimbingnya kemungkinan lebih ramai sahabat akan meninggal pada peperangan akan datang.

Memandangkan kepada keadaan demikian, Syaidina Umar telah menyuarakan pendapatnya agar ayat-ayat al-Quran dikumpulkan daripada hafalan sahabat dan yang sudah ditulis tetapi disimpan oleh sahabat, dan kemudiannya hendaklah dibukukan.

Pada mulanya Syaidina Abu Bakar agak keberatan untuk melakukan seperti yang dicadangkan oleh Syidina Umar tersebut, kerana Rasulullah semasa hayat baginda tidak pernah melakukan perkara tersebut dan juga tidak pernah menyuruh sahabat melakukan sedemikian.

Bagaimanapun, setelah diyakinkan berkali-kali oleh Syidina Umar dalam pertemuan-pertemuan lain bahawa perkara itu baik dilakukan, Syidina Abu Bakar yang telah diberikan petunjuk oleh Allah dalam perkara itu, bersetuju untuk melakukannya.

Tugas mengetuai gerakan mengumpul ayat-ayat al-Quran dilakukan oleh Zaid bin Thabit. Beliau merupakan bekas jurutulis bagi Rasulullah. Beliau merupakan penulis tetap wahyu, selain beberapa lagi sahabat. Selain itu Zaid bin Thabit juga merupakan seorang ahli khat yang terbaik ketika itu.

Zaid bin Thabit sedar tanggungjawab diserahkan kepadanya amat berat dan dirasakan tugas tersebut lebih berat daripada memindahkan sebuah bukit. Namun, demi melaksanakan satu tanggunjawab untuk kebaikan seluruh umat manusia, Zaid bin Thabit menerima dengan hati terbuka. 

Setelah kesemua ayat al-Quran berjaya dikumpul dan dibukukan, dan disahkan betul oleh sahabat yang hafal, ia disimpan di rumah Syidina Abu Bakar. Ayat al-Quran yang lengkap satu buku itu dinamakan Mashaf Imam. 

Selepas kewafatan Syidina Abu Bakar, ia disimpan pula di rumah Syidina Umar sebagai khalifah dan selepas kewafatannya beralih pula kepada Hafsah binti Umar, isteri Rasulullah.

Pada masa pemerintahan Syidina Usman bin Affan, bilangan Mashaf Imam diperbanyakkan dan diedarkan keseluruh kawasan pemerintahan Islam. Penyebaran itu bagi mengelak daripada berlakunya kekeliruan di kalangan penganut Islam di kawasan jauh dari pusat pemerintahan di Madinah, di mana sukar untuk membuat rujukan.

Selain dikirimkan senaskah al-Quran lengkap, turut dikirimkan seorang pembaca al-Quran yang mahir bagi membacakannya kepada penduduk di kawasan berkenaan agar dapat ditentukan keseragaman bacaannya. 

Selepas beberapa salinan Mashaf baru dibuat, Syidina Usman bin Affan mengarah agar Mashaf asal dan catatan-catatan ayat al-Quran yang masih disimpan sahabat dibakar. Mashaf baru kemudiannya dikenali Mashaf Usmani, yang kekal sekarang.

Pada mulanya penulisan huruf-huruf al-Quran tidak diberi tanda titik dan baris. Pembacaannya dapat dilakukan dengan baik oleh umat Islam pada ketika itu. Bagaimanapun, setelah Islam berkembang ke merata tempat, maka ia sukar untuk dibaca oleh orang bukan berbangsa Arab.

Untuk mengelak kekeliruan, ia diberikan titik dan baris. Pada peringkat awal hanya baris ditambah. Orang yang bertanggungjawab melakukan tugas tersebut ialah Abu Aswad Dauli semasa pemerintahan Muawiyah.

Seterusnya, pada zaman Abdul Malik bin Marwan, ia mula diberikan titik untuk membezakan huruf-huruf yang sama bentuknya. Tugas tersebut disempurnakan oleh Nashar bin Ashim.