Monday, 23 May 2016

AKIBAT KATA HINA


Rasulullah SAW menjelaskan bahawa bukan di kalangan umat baginda sesiapa tidak menghormati orang tua. Sabda Rasulullah bermaksud: “Bukanlah dari golongan kami sesiapa yang tidak menghormati orang tua kami dan tidak pula mengasihi anak kecil kami.” - (Hadis riwayat Tabrani).

Dalam sebuah hadis lain Rasulullah menjelaskan sesiapa yang ingin dikasihi, maka dia terlebih dulu perlu mengasihi orang lain.  Perbuatan itu jelas memperlihatkan bagaimana kesan hubungan timbal balas sesama manusia.  Jika kita mengasihi orang lain, orang itu akan membalas kasih sayang itu dan diikuti oleh orang lain di sekelilingnya secara timbal balas dan berterusan.

Mereka yang melakukan perbuatan melampai batasan termasuk menghina dan mengherdek orang lain mendapat seksaan yang pedih.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya kesalahan hanya ada pada orang yang berbuat zalim kepada manusia dan melampaui batas di muka bumi tanpa (menghiraukan kebenaran). Mereka itu mendapat seksaan yang pedih.” (Surah asy-Syura, ayat 42)

Iyad bin Himar berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Allah yang Maha Tinggi memberi wahyu kepada saya, menyuruh saudara sekalian merendahkan diri antara satu sama lain, sehingga tidak ada orang yang berasa dirinya lebih hebat daripada orang lain dan tidak ada orang bersikap angkuh terhadap orang lain.” (Riwayat Muslim)

Ada kala tanpa kita sedar perkataan yang keluar menyebabkan orang lain berasa diri seakan dihina disebabkan kelebihan kita miliki serta kekurangan ada pada mereka. Keadaan ini boleh menyebabkan timbul rasa iri hati.

Sebagai hamba beriman, setiap nikmat dikurniakan Allah SWT sepatutnya disyukuri bukan dijadikan sebab untuk bermegah-megah hingga menyebabkan timbul rasa riak dalam diri. Manusia semua sama di sisi Allah SWT dan yang membezakan adalah tahap ketakwaan mereka.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Jangan kamu menganggap dirimu suci. Dia mengetahui berkenaan orang yang bertakwa.” (Surah an-Najm, ayat 32)

Sebaiknya, kita sentiasa merendahkan diri dan menanamkan dalam jiwa bahawa setiap insan itu sama kerana yang hebat hanya Allah SWT, kita semua hanya meminjam kehebatan itu yang mana akhirnya nanti kita akan dipertanggungjawabkan atas setiap perbuatan dilakukan.

Kehidupan hari ini memperlihatkan ramai yang bertarung untuk membina kehidupan baik untuk diri serta keluarga masing-masing. Mereka berlumba-lumba untuk meningkatkan taraf ekonomi supaya dapat menjalani kehidupan selesa.

Sebenarnya, banyak perkara dalam kehidupan berkait antara satu sama lain dan kesudahannya adalah demi menjaga kemaslahatan manusia. Hubungan baik sesama manusia menghasilkan hidup yang harmoni sebaliknya prasangka hanya menjurus kepada permusuhan.


Oleh itu, dalam setiap tindakan dibuat, kesan baik dan buruknya perlu difikirkan. Jadilah orang yang memberi manfaat kepada orang lain dan jika itu juga tidak mampu dilakukan, pastikan diri tidak menjadi masalah kepada orang lain.

No comments:

Post a Comment