Wednesday, 30 March 2016

MENGHINA PERBUATAN DERA



Tindakan menghina seseorang termasuk dalam perbuatan mendera.  Perbuatan itu lambang runtuhnya nilai moral kasih sayang dan saling menghormati. Ingatlah tiada siapa berhak menghina orang lain dengan apa cara sekalipun.

Hal ini terjadi berpunca mata kalbu (hati) telah buta daripada melihat nilai hidup sebagai manusia.  Allah menjelaskan tentang mata dan telinga kalbu yang memainkan peranan meletakkan seseorang kepada taraf insan dan membezakan seseorang daripada alam haiwan. 

Firman Allah dalam surah al-Araf, ayat 79 bermaksud: “Mereka mempunyai kalbu tetapi tidak mengambil faham (berfikir) dengannya, mereka mempunyai mata tetapi tidak mahu melihat denganya dan mereka mempunyai telinga tetapi tidak mendengar dengannya.  Mereka itu adalah seperti binatang ternakan, malah mereka itu lebih sesat.”

Mata dan telinga yang dimaksudkan ayat di atas bukanlah mata dan telinga jasmani, tetapi merujuk kepada mata dan telinga kalbu.  Kalbu yang telah dirasuk perasaan sombong dan angkuh tidak takut hukum Allah dan jauh sama sekali undang-undang ciptaan manusia.

Orang melakukan penghinaan terhadap orang lain menunjukkan lagak berkuasa, sedangkan sebenarnya dia tidak mempunyai apa-apa kuasa melainkan apa yang dipinjamkan Allah kepadanya. 

Allah amat murka kepada orang yang merasa dirinya lebih berkuasa dan bertindak sesuka hati.   Firman Allah bermaksud: “Dan janganlah kamu berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak dapat menembusi bumi, dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-gunung.” - (Surah al-Isra, ayat 37).

Allah memberi kelebihan dan kekuatan untuk tujauan membuat kebaikan dan bukannya menghina orang lain. 

Islam mementingkan ikatan kasih sayang dan hormat menghormati melarang sebarang bentuk  penderaan dalam semua bentuk sama ada fizikal maupun emosi. 

Mereka yang melakukan perbuatan melampai batasan termasuk menghina dan mengherdek orang lain mendapat seksaan yang pedih.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya kesalahan hanya ada pada orang yang berbuat zalim kepada manusia dan melampaui batas di muka bumi tanpa (menghiraukan kebenaran). Mereka itu mendapat seksaan yang pedih.” (Surah asy-Syura, ayat 42)

No comments:

Post a Comment