Wednesday 10 April 2024

CELUR PUCUK UBI BUAT ULAM

 
Pucuk ubi kayu sesuai dijadikan ulam. Namun, ulam pucuk ubi kayu tidak sesuai untuk terus dimakan seperti kebanyakan pucuk ulam lain. Sebelum dimakan dijadikan ulam, pucuk ubi kayu perlu terlebih dahulu dicelur.
 
Menculur ialah memasukkan atau mecelupkan pucuk ubi kayu untuk beberapa ketika ke dalam air panas supaya ia menjadi lembut.
 
Pucuk ubi kayu yang telah dicelur menjadi layu dan lembut untuk dimakan bersama nasi dengan cicih bersama budu, balacan dan sebagainya. Ia menjadi ulam yang cukup sedap dan melazatkan kepada penggermarnya.  
 
Pucuk ubi kayu juga boleh dijadikan sayur. Ia sering digunakan untuk masakan kampung, antaranya masak lemak cili padi, goreng cili api, sambal tempoyak petai dan pucuk ubi, rendang dan kerabu.
 
Untuk mendapatkan pucuk ubi kayu tidak sukar kerana pokok ubi kayu mudah tumbuh. Di kampung-kampung, terdapat kawasan yang pokok ubi kayu dianggap sebagai semak kerana banyak tubuh dengan sendiri melalui keratan batang yang dibuang di sesuatu tempat. Jadi, sesiapa pun boleh petik pucuk ubi kayu di kampung dengan percuma.
 
Pucuk ubi kayu adalah sayuran organik 100% kerana pokok ubi kayu boleh ditanam di hampir semua tempat tanpa memerlukan penjagaan yang khusus, malahan tidak perlu dibaja atau disembur racun sekalipun. Ini menjadikan sayuran pucuk ubi ini amat tinggi nilainya.

Namun, pucuk daun ubi kayu ada banyak jenis. Ada jenis pokok ubi kayu yang daun pucuknya agak pahit. Jadi ia tidak sesuai untuk dimakan. Jenis paling sesuai untuk dijadikan ulam atau sayur ialah pokok ubi kayu pulut.
 
Pucuk ubi kayu mengandungi pelbagai mineral, vitamin, asid amino dan protein yang sangat diperlukan badan. Protein sayuran yang terkandung di dalam pucuk ubi kayu berfungsi sebagai unsur-unsur yang membina sel-sel badan dan merupakan komponen sistem enzim.
 
Di samping itu kandungan asid amino dalam dedaun hijau berfungsi sebagai pemecah karbohidrat kepada tenaga. Kandungan protein dalam daun ubi dikatakan setara dengan protein pada telur, dan mengandungi lebih dari 60 peratus asid amino esensial. Kerana kelebihannya ini, daun ubi sangat baik untuk mencegah sembelit, baik untuk kesihatan mata, dan mampu meningkatkan kekebalan tubuh.

Asid amino di dalam pucuk ubi kayu juga berguna untuk pemulihan luka dan kulit yang bermasalah serta rosak. Ia juga berfungsi untuk menggantikan sel-sel yang rosak, menguatkan tulang dan membantu daya ingatan yang baik.

Selain itu juga ia membantu memulihkan sistem metabolisme tubuh. Klorofil dalam daun juga berfungsi sebagai antioksidan dan agen antikanser.

Pucuk ubi kayu sangat rendah kalori dan amat sesuai sebagai makanan yang dapat menurunkan berat badan. Pucuk ubi kayu juga dapat mengatasi masalah sembelit dan sistem penghadaman.